JANGAN ABAIKAN ILMU PENGETAHUAN

Ilmu persis nyawa yang tanpanya hilanglah upaya. Ia bagai minyak dalam pelita.

Saidina Ali - kw menegaskan keutamaan ilmu melebihi daripada harta benda sekurang-kurangnya ada 10 sebab:
  1. Lantaran ilmu warisan dari para Nabi sedangkan harta benda warisan dari Qarun dan Firaun.
  2. Ilmu dapat menjaga keselamatan/kesempurnaan diri sedangkan harta benda adalah a'kasnya yakni yang empunya menjagainya.
  3. Ilmu dapat menarik ramai kenalan dek potensi pengaruhnya sedangkan harta memperbanyakkan musuh lantaran kedengkian orang lain terhadap empunyanya.
  4. Ilmu akan menjadi bertambah meluas lantaran diamalkan penggunaannya dek berkat sebaliknya harta akan menjadi berkurang manakala dibelanjakan.
  5. Empunya ilmu punya kedarjatan lantaran diseru empunyanya dengan nama besar dan mulia sedangkan harta diseru dengan nama tercela kapan empunyanya tidak bersyukur.
  6. Ilmu tidak dapat dicuri orang sebab ia terdapat dijiwa sebaliknya harta tidak terjamin keselamatannya.
  7. Ilmu dikurniai syufaat terhadap empunyanya di hari kiamat manakala harta diperberatkan dengan hisab.
  8. Ilmu tiada binasa sepanjang zaman sebaliknya harta termusnah.
  9. Ilmu menerangkan hati dari kegelapannya sebaliknya harta mengeraskan hati.
  10. Ilmu dapat mendekatkan diri (taqarrub) dengan Tuhan dek kesedaran ubudiah sebaliknya harta mengakibatkan keegoan.
Mana-mana mukalaf yang berhijrah atau sekurang-kurangnya berpindah dari rumahnya atas niat untuk menuntut ilmu maka Tuhan mengampuni dosanya sebelum dia melangkah turun dari tempat tinggalnya. Demikianlah besarnya fadilat menuntut ilmu pengetahuan dengan syarat untuk mendapat kesempurnaan beramal demi mencapai restu Allah Taala.

Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):"Sesiapa yang memperlajari satu bab dari ilmu samada ianya diamalkan atau tidak maka vitalitinya lebih utama daripada mengerjakan 1000 rakaat solat sunat".


KISAH 3

Suatu malam seorang pencuri menceroboh masuk ke dalam pondok Rabi'atul Adawiyah. Dia membongkar ke sana ke sini tetapi tidak menemukan sebarang benda untuk dicuri kecuali sebuah kendi untuk kegunaan berwuduk itupun sudah buruk. Setelah puas mencari-cari pencuri itu melangkah untuk keluar.

"Hei, jangan keluar sebelum engkau mengambil sesuatu dari rumah ini." kata Rabi'atul Adawiyah secara mendadak.

Si pencuri terperanjat. Kerana sejak tadi dia ingat penghuni rumah yang dicerobohinya itu tiada. Dia juga hairan kerana baru sekarang ada tuan rumah yang baik hati seperti itu. Padahal biasanya jika seseorang menyedari ada pencuri masuk ke rumahnya dia akan menjerit meminta tolong.

"Sila ambil sesuatu." desak Rabi'atul Adawiyah.

"Tidak ada apa-apa benda yang dapat kucuri," kata si pencuri terus terang.

"Ambilah itu!" kata Rabi'atul Adawiyah lagi sambil menunjukkan pada kendi.

"Ini hanya kendi buruk saja, tak ada guna untuk ku curi."

"Ambil kendi itu dan bawa ke bilik air, kemudian kamu berwuduk di sana. Lepas itu solatlah dua rakaat. Dengan demikian engkau telah mengambil sesuatu yang sangat berharga dari pondok buruk ini."

Mendengar kata-kata itu si pencuri jadi gementar hatinya yang keras menjadi lembut seperti terpukau. Dia lalu mencapai kendi itu dan membawanya ke bilik air lalu berwuduk. Lepas itu dia solat dua rakaat. Ternyata dia merasakan sesuatu kepuasan dan kelazatan dalam jiwanya.

Rabi'atul Adawiyah berdoa " Ya Allah pencuri ini meceroboh masuk rumahku. Akan tetapi dia tidak menemukan sebarang benda untuk dicuri. Kemudian aku suruh berdiri di hadapan-Mu. Oleh itu, janganlah engkau halang dia untuk memperolehi nikmat rahmat-Mu."

KISAH 2

Seketika Rabi'atul Adawiyah melihat seorang sedang berjalan-jalan dengan kepala berbalut. Kerana ingin mengetahui sebabnya beliau bertanya "Wahai hamba Allah! Mengapa engkau balut kepalamu begitu rupa?"

"Aku sakit kepala." jawab orang itu.

"Sudah berapa lama?"

"Sudah sekian hari."

"Usiamu sudah berapa tahun?"

"Sudah tiga puluh tahun."

"Bagaimana keadaanmu selama tiga puluh tahun itu?"

"Alhamdulilah, sihat-sihat saja."

"Apakah kamu memasang tanda di badanmu bahawa kamu sihat selama itu?"

"Tidak." jawab orang itu.

"Masya Allah," kata Rai'atul Adawiyah. "Selama tiga puluh tahun Allah menyihatkan tubuh badanmu, tetapi kamu tidak pula memasang sebarang tanda atau bendera yang menunjukkan kamu sihat sebagai tanda syukur kepadaNya agar manusia dapat bertanya kepadamu apa sebabnya kamu sangat gembira. Apabila mereka mengetahui nikmat Allah kepadamu diharapkan mereka memuji kepada Allah."

Seterusnya Rabi'atul Adawiyah berkata "Akan tetapi sebaliknya setelah engkau mendapat sakit sedikit, engkau balut kepalamu kemudian kamu pergi ke sana ke sini dengan menunjukkan sakitmu dan kekasaran Tuhan terhadapmu kepada orang ramai. Mengapa engkau berbuat hina seperti ini?"

Orang yang berbalut kepala itu tidak menjawab dan hanya tertunduk malu kemudian dia pun beredar dari sisinya.

KISAH 1

Ada beberapa orang cerdik pandai datang ke rumah Rabi'atul Adawiyah dengan membawa sesuatu isu yang menarik. Mereka fikir dengannya beliau akan mengalah kerana selama ini Rabi'atul Adawiyah tidak pernah kehabisan hujah.

"Wahai Rabi'atul Adawiyah banyak sekali kebajikan yang tinggi-tinggi dianugerahkan Allah kepada kaum lelaki tidak kepada perempuan." kata rombongan itu.

"Buktinya?" tanya Rabi'atul Adawiyah.
"Engkau tahu sendiri. Mahkota kenabian dan Rasul dianugerahkanNya kepada lelaki. Mahkota kebangsawanan juga ada pada lelaki. Yang paling penting tidak ada perempuan yang diangkat menjadi Nabi atau Rasul tapi semuanya dari golongan lelaki." kata mereka pula.

"Memang betul pendapat tuan-tuan itu. Akan tetapi perlu diingat bahawa sejahat-jahat pangkat ada pada mereka juga. Siapa yang paling mengagung-agungkan diri sendiri? Siapa yang mendakwa dirinya sebagai Tuhan? Dan siapa pula yang berkata "Bukankah aku ini Tuhanmu yang mulia?" kata Rabi'atul Adawiyah sambil merujuk kepada Firaun dan Namruz.

Kemudian dia berkata lagi "Anggapan dan ucapan seperti ini tidak pernah keluar dari mulut seorang perempuan.. Semuanya ditimpakan kepada kaum lelaki."

Dengan jawapan tersebut menyebabkan mereka menggaru kepala.

KAPAL PENYELAMAT

Marilah kita sama-sama baca dan menghayati secebis kita tiga pemuda ini dan apakah yang meransang kejayaan mereka dari terlepas bencana yang tidak diduga ini.

Pada suatu masa dahulu ada tiga orang pemuda yang dalam perjalanan, tiba-tiba dengan tidak semena-mena mereka ditimpa hujan lebat. Untuk melindungi diri mereka daripada hujan, maka mereka lari masuk ke dalam gua yang berdekatan di situ. Sekonyong-konyong lari dari atas bukit jatuh batu yang sangat besar dan menutupi keseluruhan pintu gua itu. Melihat akan keadaan itu, ketiga-tiga pemuda tersebut berkata " Nampaknya kita tidak dapat keluar dari tempat ini, oleh itu marilah kita mengingati amal soleh yang kita kerjakan untuk mencari keredhaan Allah, mudah-mudahan dengan amal yang kita amalkan Allah akan membukakan pintu gua ini untuk kita keluar.

Lalu berdoalah pemuda yang pertama "Ya Allah! Aku mempunyai ibu bapa yang keduanya sudah tua dan aku juga mempunyai seorang isteri serta beberapa orang anak yang masih kecil lagi, yang mana semuanya ini masih menjadi tanggungjawabku. Setiap hari apabila aku pulang dari mengembala aku akan memerah susu untuk mereka dan yang pertama aku berikan susu itu kepada ibu dan bapaku yang sudah tua. Selepas itu barulah aku berikan susu itu kepada anak dan isteriku. Pada suatu hari aku terlambat pulang kerana mencari kayu api dan apabila sampai di rumah aku mendapati kedua orang tuaku sudah tidur. Seperti biasa aku memerah susu lalu aku bawa kepada kedua ibubapaku, aku berdiri dekat kepala mereka, oleh kerana masih tidur maka aku tidak sampai hati untuk membangunkan mereka. Dan juga aku tidak berikan susu kepada anak-anakku walaupun mereka menangis dekat kaki aku meminta susu."Dan berdoa pemuda itu lagi" Ya Allah, kamu tahu aku membuat begitu semata-mata untuk mencari keredhaan-Mu, oleh itu tolonglah buka pintu gua untuk kami supaya kami dapat keluar dari gua dan melihat langit.

Kemudian berdoa pemuda yang kedua "Ya Allah aku mempunyai seorang bapa saudara dan bapa saudaraku itu mempunyai seorang anak gadis. Engkau tahu aku menyintainya seperti lazimnya seorang pemuda menyintai seorang dara lalu aku minta izinkan aku tidur dengannya tetapi dia menolak dengan alasan bahawa aku harus berikannya sebanyak 100 dinar. Wahai Allah engkau maha mengetahui aku melakukan demikian hanya semata-mata mengkehendaki keredhaan-Mu. Oleh itu tolonglah buka pintu gua ini untuk kami".

Akhir sekali berdoa pemuda yang ketiga "Ya Allah, aku pernah mengupah seseorang untuk menyimpan gandum ke dalam peti, apabila dia selesai membuat kerjanya itu, lalu aku berikan kepadanya upah dalam bentuk benih. Tetapi dia enggan menerimanya. Namun begitu gandum untuk upahnya itu aku tanamkan untuknya dan hasilnya aku kumpulkan lalu aku belikan seekor sapi dan aku pelihara. Wahai Allah Engkau Maha mengetahui aku berbuat demikian adalah semata-mata mengharapkan keredhaan-Mu. Oleh itu tolonglah bukakan pintu gua ini untuk kami.

Selepas selesai ketiga-tiga pemuda tadi berdoa maka terbukalah pintu gua itu serta ketiga-tiga pemuda itu pun keluar. Ini menceritakan bagaimana amal ibadat yang ikhlas mampu menghindari seseorang daripada bencana bagaikan KAPAL PENYELAMAT dari segala bahaya di lautan pada hakikatnya.

SABAR

Asalamualaikum...........w.b.t

Kesabaran merupakan satu sikap yang tabah serta gigih dalam menghadapi persoalan atau cabaran hidup. Peranannya amatlah dikehendaki dalam hemat agama bagi menangani masalah semasa.

Sebenarnya sepanjang hayat kita memang dikehendaki bersabar memandangkan kehidupan duniawi merupakan tempat ujian dan dugaan, justeru berapa banyak keperluan yang kita inginkan menjadi terbengkalai disebabkan kita tidak dapat menguasai atau memperolehi ibarat kata peribahasa "hajat dihati nak peluk gunung, apakan daya tangan tak sampai".

Hanya kesabaran sahajalah sebagai perisai bagi orang-orang yang beriman. Tegasnya di sini setiap mukmin hendaklah prihatin dengannya lantaran tanpa kesabaran matlamat hidup menjadi longlai ibarat "kail panjang sejengkal pasti laut dalam tak dapat diduga".

Di sini suka saya menghuraikan kelimah SABAR agar maknanya dapat dihayati oleh orang yang ingin memberi nasihat kepada seseorang supaya bersabar dan sekaligus ianya juga dapat difahami oleh orang yang menerimanya iaitu:

S - bermakna susah atau sakit
A - bermakna "actual" (ertinya bertindak dengan betul)
B - bermakna bina
A - bermakna amanah (ertinya bertanggungjawab)
R - bermakna redha

Kesusahan merupakan sebahagian daripada realiti hidup, demikian juga kesakitan. Justeru itu kita perlulah bersabar. Kita hendaklah menangani realiti hidup itu dengan bijaksana. Peribahasa hakikat ini antaranya:

a. "Berjagung dahulu sementara padi masak".
b. "Tiada rotan akarpun berguna juga".

Oleh itu kita hendaklah bina konsep SABAR dengan nilai-nilai positif disamping bersikap amanah yakni mempunyai sikap bertanggungjawab untuk menyelesaikan setiap masalah dihadapi secara kolektif.

Adapun makna redha pula ialah kita menyedari wujudnya ciri-ciri kesusahan atau kesakitan dalam kehidupan insani sebagaimana kita menyedari adanya hujan dan panas. Demikian juga kita perlu prihatin dengan sikap "actual" bina dan amanah.

Dengan memahami huruf ini sekurang-kurangnya ia lebih mendekati kepada pengertian secara istilah kesannya dapat memanfaatkan kepada pemakainya sebagai amalan utama orang-orang yang beriman disamping solat,sedekah dan ibadat puasa.Lantaran empat amalan inilah yang menyertai kita di alam kubur (disamping lain-lain amalan).


KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD S.A.W

Khutbah ini telah disampaikan pada 9hb Zulhijjah tahun 10 Hijriyyah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendakku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia seperti mana kamu mengganggap bulan ini, dan kota ini sebagai 'suci', maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu, dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberikan makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang 5 kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorangpun yang lebih mulia kecuali dalam takwa dan beramal soleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada nabi dan rasul yang datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikut kedua-duanya nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Itulah Al Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampaikan pula kepada orang lain dan hendaklah orang lain itu menyampaikan pula kepada yang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah ya Allah bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hambamu.


KERIS MAKAN TUAN


Zaman dahulu ada seorang alim yang baik hubungannya dengan raja. Dia sentiasa berada di sisi raja kerana memberi nasihat dan raja suka kepadanya. Keadaan ini menyebabkan seorang lelaki lain yang ingin bermuka-muka dengan raja merasa dengki. Lalu dicarinya jalan untuk membinasakan lelaki alim tersebut.
Suatu hari lelaki pendengki itu pergi kepada raja dan mengatakan bahawa lelaki alim yang sering memberinya nasihat telah mengumpatnya.
"Mengumpat bagaimana?" tanya raja.
"Dia berkata mulut tuanku berbau busuk."
"Hei.......betulkah cakapmu itu?" tanya raja.
"Betul tuanku. Kalau tidak percaya, cuba lihat apabila dia menghadap tuanku, pasti dia akan menutup hidung dan mulutnya kerana takut tercium bau busuk".
"Baiklah, kalau begitu engkau boleh pergi, aku akan melihatnya sendiri".
Lelaki pendengki itu segera pulang ke rumahnya dan memasak makanan yang sangat banyak mengandungi bawang dicampur petai sehingga sesiapa yang memakannya, mulutnya akan berbau serta merta. Setelah masak, dia menjemput lelaki alim itu ke rumahnya untuk jamuan makan. Tanpa menaruh sebarang kecurigaan lelaki alim itu makan sebagaimana biasa sehingga selesai.
Tiba-tiba datang utusan raja memanggil si lelaki alim agar datang menghadap ke istana ketika itu juga. Maka pergilah lelaki alim itu ke istana dalam keadaan mulut berbau kerana baru saja makan makanan yang sengaja dibuat bau oleh temannya. Dia menyedari akan hal itu.
"Rapatlah kepadaku'. kata raja.
Sebagaimana biasa, lelaki itu pun rapat kepada raja. Namun kali ini dia menutup mulutnya kerana menyedari mulutnya masih berbau dan khuatir raja tercium baunya. Melihat ini, raja percaya bahawa apa yang dikatanya oleh lelaki yang membuat laporan itu betul.
Tanpa bercakap lagi, raja mengambil sekeping kertas dan menulis surat. Setelah selesai, surat itu dimasukkan ke dalam sampul surat tertutup dan diluarnya ditulis "SULIT RAHSIA KERAJAAN", kemudian diberikannya kepada si lelaki alim itu.
"Tolong hantarkan surat ini kepada si Fulan dan tunggu jawapannya sekejap."kata raja.
Sementara si pendengki mengintai-ngintai dari jauh untuk mengetahui hukuman yang dijatuhkan raja kepada orang yang didengkinya. Ternyata dia tidak dihukum. Malah sebaliknya, dia diberi kepercayaan untuk menghantarkan surat penting kerajaan kepada seorang pegawai kerajaan. Si pendengki bertambah iri.
"Surat apa itu?" tanya si pendengki.
"Surat raja, disuruh hantarkan kepada si Fulan."
"Berikan kepadaku, agar aku menghantarkannya."pinta di pendengki.
"Mana boleh, ini diamanahkan kepadaku."
Si lelaki pendengki memaksanya juga dengan berbagai alasan. Dia berbuat demikian agar dirinya dianggap sebagai orang yang dekat dengan raja sehingga diberi kepercayaan menghantarkan surat rahsia kerajaan.
Dengan terpaksa, lelaki alim itu menyerahkan surat yang diamanahkan kepadanya kepada yang memintanya. Pergilah lelaki pendengki itu membawa surat raja dengan bangganya ke alamat yang dituju.
"Fulan! Ini surat penting untukmu." katanya sebaik saja sampai ke alamat yang dituju.
"Dari siapa?
"Dari rajalah. Tengok ini baginda sendiri yang menulis dengan tangannya." kata lelaki itu dengan bangganya.
Surat itu terus dibuka oleh si penerima dan dibacanya di dalam hati."Sebaik saja surat ini selesai kau baca, maka bunuhlah si pembawanya. Lapah kulitnya dan hantarkan kepadaku!.
"Baik, bersiap sedialah engkau." kata sipenerima surat itu kepada si pembawa.
"Ada apa?"
"Raja memerintahkan agar aku membunuh engkau sekarang juga."
Lelaki itu terkejut luar biasa lalu berkata, "Tidak! Tidak! Bukan aku yang dimaksudkan, tapi si.................................."
"Tidak boleh, engkau mesti kubunuh, kerana engkaulah yang membawa surat ini. Cuba baca ini!"
"Sabar dulu. Aku akan menghadap raja, kerana pada mulanya bukan aku yang membawa surat itu." kata si lelaki sambil mengajukan berbagai alasan.
"Perintah raja tidak boleh ditangguh-tangguhkan. Sudahlah sekarang bersiap sedia."
Rayuan demi rayuan si pembawa surat tidak didengarkan lagi. Dia pun dipancung sehingga mati akibat perbuatan dengkinya sendiri. Keris makan tuan!
Sementara si lelaki alim datang menghadap raja dan menceritakan bahawa suratnya telah diminta oleh si Fulan dan dihantarkannya ke alamat yang dituju. Raja kebinggungan dibuatnya mengenangkan nasib orang yang membawa suratnya.
"Betulkah engkau pernah mengatakan bahawa mulutku berbau busuk?" tanya raja.
"Tidak pernah tuanku. Aku berani sumpah."
"Mengapa engkau menutup hidung ketika bercakap denganku semalam?"
Si lelaki alim menerangkan sebab-sebabnya dengan jelas. Setelah raja memahaminya, dia hanya mengeleng-gelengkan kepala.
"Kalau begitu padanlah, dia yang menerima balasan." kata raja.