KERIS MAKAN TUAN


Zaman dahulu ada seorang alim yang baik hubungannya dengan raja. Dia sentiasa berada di sisi raja kerana memberi nasihat dan raja suka kepadanya. Keadaan ini menyebabkan seorang lelaki lain yang ingin bermuka-muka dengan raja merasa dengki. Lalu dicarinya jalan untuk membinasakan lelaki alim tersebut.
Suatu hari lelaki pendengki itu pergi kepada raja dan mengatakan bahawa lelaki alim yang sering memberinya nasihat telah mengumpatnya.
"Mengumpat bagaimana?" tanya raja.
"Dia berkata mulut tuanku berbau busuk."
"Hei.......betulkah cakapmu itu?" tanya raja.
"Betul tuanku. Kalau tidak percaya, cuba lihat apabila dia menghadap tuanku, pasti dia akan menutup hidung dan mulutnya kerana takut tercium bau busuk".
"Baiklah, kalau begitu engkau boleh pergi, aku akan melihatnya sendiri".
Lelaki pendengki itu segera pulang ke rumahnya dan memasak makanan yang sangat banyak mengandungi bawang dicampur petai sehingga sesiapa yang memakannya, mulutnya akan berbau serta merta. Setelah masak, dia menjemput lelaki alim itu ke rumahnya untuk jamuan makan. Tanpa menaruh sebarang kecurigaan lelaki alim itu makan sebagaimana biasa sehingga selesai.
Tiba-tiba datang utusan raja memanggil si lelaki alim agar datang menghadap ke istana ketika itu juga. Maka pergilah lelaki alim itu ke istana dalam keadaan mulut berbau kerana baru saja makan makanan yang sengaja dibuat bau oleh temannya. Dia menyedari akan hal itu.
"Rapatlah kepadaku'. kata raja.
Sebagaimana biasa, lelaki itu pun rapat kepada raja. Namun kali ini dia menutup mulutnya kerana menyedari mulutnya masih berbau dan khuatir raja tercium baunya. Melihat ini, raja percaya bahawa apa yang dikatanya oleh lelaki yang membuat laporan itu betul.
Tanpa bercakap lagi, raja mengambil sekeping kertas dan menulis surat. Setelah selesai, surat itu dimasukkan ke dalam sampul surat tertutup dan diluarnya ditulis "SULIT RAHSIA KERAJAAN", kemudian diberikannya kepada si lelaki alim itu.
"Tolong hantarkan surat ini kepada si Fulan dan tunggu jawapannya sekejap."kata raja.
Sementara si pendengki mengintai-ngintai dari jauh untuk mengetahui hukuman yang dijatuhkan raja kepada orang yang didengkinya. Ternyata dia tidak dihukum. Malah sebaliknya, dia diberi kepercayaan untuk menghantarkan surat penting kerajaan kepada seorang pegawai kerajaan. Si pendengki bertambah iri.
"Surat apa itu?" tanya si pendengki.
"Surat raja, disuruh hantarkan kepada si Fulan."
"Berikan kepadaku, agar aku menghantarkannya."pinta di pendengki.
"Mana boleh, ini diamanahkan kepadaku."
Si lelaki pendengki memaksanya juga dengan berbagai alasan. Dia berbuat demikian agar dirinya dianggap sebagai orang yang dekat dengan raja sehingga diberi kepercayaan menghantarkan surat rahsia kerajaan.
Dengan terpaksa, lelaki alim itu menyerahkan surat yang diamanahkan kepadanya kepada yang memintanya. Pergilah lelaki pendengki itu membawa surat raja dengan bangganya ke alamat yang dituju.
"Fulan! Ini surat penting untukmu." katanya sebaik saja sampai ke alamat yang dituju.
"Dari siapa?
"Dari rajalah. Tengok ini baginda sendiri yang menulis dengan tangannya." kata lelaki itu dengan bangganya.
Surat itu terus dibuka oleh si penerima dan dibacanya di dalam hati."Sebaik saja surat ini selesai kau baca, maka bunuhlah si pembawanya. Lapah kulitnya dan hantarkan kepadaku!.
"Baik, bersiap sedialah engkau." kata sipenerima surat itu kepada si pembawa.
"Ada apa?"
"Raja memerintahkan agar aku membunuh engkau sekarang juga."
Lelaki itu terkejut luar biasa lalu berkata, "Tidak! Tidak! Bukan aku yang dimaksudkan, tapi si.................................."
"Tidak boleh, engkau mesti kubunuh, kerana engkaulah yang membawa surat ini. Cuba baca ini!"
"Sabar dulu. Aku akan menghadap raja, kerana pada mulanya bukan aku yang membawa surat itu." kata si lelaki sambil mengajukan berbagai alasan.
"Perintah raja tidak boleh ditangguh-tangguhkan. Sudahlah sekarang bersiap sedia."
Rayuan demi rayuan si pembawa surat tidak didengarkan lagi. Dia pun dipancung sehingga mati akibat perbuatan dengkinya sendiri. Keris makan tuan!
Sementara si lelaki alim datang menghadap raja dan menceritakan bahawa suratnya telah diminta oleh si Fulan dan dihantarkannya ke alamat yang dituju. Raja kebinggungan dibuatnya mengenangkan nasib orang yang membawa suratnya.
"Betulkah engkau pernah mengatakan bahawa mulutku berbau busuk?" tanya raja.
"Tidak pernah tuanku. Aku berani sumpah."
"Mengapa engkau menutup hidung ketika bercakap denganku semalam?"
Si lelaki alim menerangkan sebab-sebabnya dengan jelas. Setelah raja memahaminya, dia hanya mengeleng-gelengkan kepala.
"Kalau begitu padanlah, dia yang menerima balasan." kata raja.



    0 comments:

    Post a Comment